Tuesday, March 18, 2014

Spa Kasih Sayang Untuk Bayi (by Utusan)





KETIKA menyaksikan bayi-bayi comel tersenyum dan ketawa riang bermain air di dalam tab mandi di Hippopo Baby Spa and Wellness, naluri keibuan terdetik rasa teruja dan gembira.

Gelagat mereka menendang-nendang kaki sambil tangan kecil cuba mengapai bola-bola kecil di permukaan air, membuatkan ibu bapa yang berada di sekeliling mereka tersenyum bangga dan puas.
Di satu sudut lain pula, kelihatan beberapa orang fisioterapi profesional sedang melakukan urutan manja pada beberapa bayi yang telah selesai sesi mandian.

Kemudian di sudut paling hujung, kelihatan pula seorang bayi yang berusia dalam lingkungan enam bulan sedang nyenyak tidur di atas tilam, selepas selesai melakukan sesi memanjakan diri.

Pengasas Hippopo Baby Spa and Wellness, Nick Goo, berkata, idea asal beliau bersama isteri menubuhkan spa tersebut bermula hasil pengalaman sendiri membawa bayi mereka berusia tiga bulan di spa bayi di Singapura.
"Di Singapura terdapat lebih daripada 10 spa untuk bayi yang menyediakan pakej mandian kolam dan urutan.
"Semasa melihat sendiri keseronokan anak bermain air di dalam kolam dan melalui terapi urutan yang dilakukan selama 30 minit di spa tersebut, perasaan teruja dan puas sangat dirasai ketika itu.

"Rasa gembira yang sukar diungkapkan ketika melihat bayi kami seronok bermain air sambil menendang-nendang kaki dan tersenyum setiap kali melihat wajah kami berdua," jelas Nick
Dia menambah, daripada pengalaman tersebutlah dia dan isteri bersepakat membuka sebuah spa yang menawarkan pakej mandian dan urutan bayi, iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini.
Spa bayi tersebut beroperasi di Centrepoint Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.
"Sebelum bayi melalui proses memanjakan diri, mereka akan melakukan sesi regangan selama lima minit sambil dibantu oleh fisioterapi.

"Kemudian mereka akan dipakaikan dengan lampin mandian khusus.
"Terdapat dua saiz tab mandi disediakan di sini untuk keselesaan bayi. Tab mandi kecil dikhususkan untuk bayi berusia satu hingga enam bulan, sementara tab lebih besar digunakan untuk bayi berusia tujuh bulan hingga tiga tahun. Jumlah berat minimum bayi untuk mandi dalam kolam ini pula bermula dari 4.5 kilogram.
"Ibu bapa juga tidak perlu risau tentang tahap kebersihan tab mandi. Bagi memastikan kualiti air yang digunakan bersih dan selamat, air akan ditukar setiap hari bagi tab mandi besar air dan bagi tab mandi lebih kecil air akan ditukar setiap kali selepas digunakan.

"Selain itu, ia juga dilengkapi dengan penapis air dan kandungan ioniser bagi mengelakkan bau dan bakteria.
"Kebiasaannya kami menggunakan air suam daripada 33 hingga 37 darjah celcius. Begitupun ibu bapa diberi pilihan sama ada untuk memilih air mandian sejuk atau suam untuk bayi mereka.
"Tidak cukup dengan itu, sebelum memasukkan bayi ke dalam tab mandi, kami akan meminta keluarga menyentuh dahulu air tersebut," katanya.

Nick berkata, selepas sesi mandian bayi -bayi tersebut akan dimanjakan dengan urutan yang dilakukan oleh fisioterapi berpengalaman dengan menggunakan teknik-teknik urutan yang lembut dan santai.
Menurutnya, urutan tersebut menggunakan minyak biji anggur, minyak premium centella dan minyak musk yang diimport dari Taiwan.

Minyak tersebut katanya, sangat baik untuk urutan bayi yang lahir pramatang kerana ia dikatakan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan tumbesaran bayi.
"Tempoh urutan adalah 30 minit, namun ia juga bergantung kepada keadaan serta mood bayi kerana tidak semua bayi suka disentuh dan diurut dalam masa yang lama," jelasnya.
Menurut Nick, bayi yang menjalani pakej rawatan mandian dan urutan di spanya diyakini mempunyai tahap kecergasan yang lebih baik selepas selesai memanjakan diri.

Bahkan katanya, menurut kajian, bayi yang selalu didedahkan dengan aktiviti sihat seperti berenang dan bermain air dalam kolam akan membantu menyihatkan jangtung dan paru-paru, selain meningkatkan pertumbuhan minda.
Pada masa sama, ia turut meningkatkan sistem ketahanan dalam badan, membantu bayi mengenali sentuhan, pendengaran, kemahiran komunikasi dan baik untuk perkembangan serta pertumbuhan bayi yang lahir secara pramatang.

"Kebaikan urutan manja untuk bayi pula membantu dari aspek interaksi non verbal dan verbal, perasaan sayang dan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pada diri.
"Bayi yang selalu diurut juga akan mempunyai kualiti tidur yang lebih baik, tidak mudah terekan dengan keadaan sekeliling mereka dan lebih rilek dan tenang," katanya.
Nick menambah, harga untuk satu sesi renang adalah RM48 dan urutan pula RM38. Sementara harga untuk pakej rawatan ini adalah RM86.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment